KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 60 tapak penjaja baharu di Kampung Baru di sini dijangka siap pada Julai tahun ini.

Pusat Penjaja Kampung Baru itu sedang rancak dibina bagi menempatkan peniaga-peniaga kecil di Kota Samarahan.

Pengurus Projek, Boon Wi Yung berkata, tapak tersebut bakal menjadi pilihan pembeli yang datang dari Kampung Asajaya, Tambir serta penduduk di sekitarnya.

“Projek yang berhampiran dengan Jambatan Batang Samarahan ini akan menjadi kemudahan menyelesakan kepada para peniaga kecil.

“Malah, kita akan melengkapkannya dengan tandas dan tempat membuang sampah agar kebersihannya terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Sarawak Voice di tapak projek di sini, petang semalam.

Menurut Boon, projek berkenaan sudah tentunya memberi impak besar kepada kampung-kampung di sekitarnya apabila dilihat membuka lebih banyak peluang perniagaan.

Wartawan Sarawak Voice turut mengadakan tinjauan mengenai keadaan Jambatan Batang Samarahan yang sebelumnya tidak terlepas daripada kejadian vandalisma.

Bagaimanapun, keadaan semakin baik apabila jambatan itu dilengkapi dengan lampu jalan.

Malah, turut dilihat beberapa pekerja sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan lampu jalan di sepanjang jalan dari Jambatan Batang Samarahan ke Desa Ilmu. –Sarawakvoice

Pengurus Projek… Boon Wi Yung ketika memberikan penjelasan mengenai Projek Pusat Penjaja Kota Samarahan di Kota Samarahan, petang semalam.
Situasi… Boon Wi Yung memantau para pekerjanya ketika menyiapkan kerja-kerja pembinaan di tapak projek di Kota Samarahan, petang semalam.