LINGGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga YB Hajah Simoi binti Haji Peri bercadang akan mengadakan Program Klinik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Karnival Pendidikan pada tahun ini.

“Adalah menjadi hasrat saya mahu melihat anak-anak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga berjaya dalam pendidikan.

“Selain itu, saya juga mahu setiap tenaga pengajar turut dibekalkan kemahiran mengajar dengan adanya penganjuran Karnival Pendidikan,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Beg Sekolah, Sekolah-Sekolah Kebangsaan DUN Lingga 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Pahlawan, Lingga.

Pada majlis itu, seramai 115 orang murid-murid SK Lela Pahlawan Lingga mendapat sumbangan berupa beg sekolah.

“Dengan adanya sumbangan ini (beg sekolah) akan dapat memberi semangat untuk murid-murid sekolah turun ke sekolah atau belajar,” tambahnya.

Simoi turut menyerahkan peruntukan geran Kerajaan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lela Pahlawan untuk menjalankan aktiviti sekolah termasuk pelajar Pra-Sekolah.