SIBURAN: Daerah Kecil Siburan akan dinaik taraf menjadi sebuah daerah penuh selepas kajian mendalam dilakukan bagi memastikan setiap syarat dicapai.

YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Residen Serian dalam menjadikan Daerah Siburan Kecil ini sebagai sebuah daerah penuh.

“Saya akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani dan Residen Serian untuk mewujudkan sebuah ‘task force’ bagi mengkaji perkara ini.

“Banyak perkara yang diperlukan bagi menaik taraf Daerah Kecil Siburan kepada sebuah daerah penuh.

“Salah satunya mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan ‘Green Area’ yang merupakan salah satu kriteria untuk menaik taraf Siburan menjadi sebuah derah penuh.

“Bagaimanapun, saya berjanji akan menjadikan Siburan ini sebagai sebuah daerah penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin dalam Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang Siburan sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Dewan Gelanggang Bola Keranjang Siburan, malam tadi.

Pada majlis itu, Abang Zohari meluluskan peruntukan RM1.5 juta bagi menaik taraf Pejabat Daerah Kecil.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong YB Dr Jerip Susil mencadangkan Pekan Siburan ini dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh sejajar dengan pembangunan pesat di sini.

“Pekan Siburan kini telah mempunyai pelbagai prasarana dan kemudahan awam seperti balai polis padawan, stadium mini, balai bomba, sekolah menengah dan sekolah rendah serta institusi kewangan, Pejabat Pertanian, Pejabat Daerah Kecil Siburan dan sebuah pasaraya.

“Justeru, dengan adanya prasarana dan kemudahan awam ini, penduduk di kawasan ini mencadangkan Pekan Siburan dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh,” katanya.