KUCHING: Program Kolokium Kepimpinan Belia Sarawak bertujuan untuk mendedahkan para belia betapa pentingnya usaha untuk memartabatkan golongan belia dan menyertakan diri mereka dalam aspek pembangunan negara mahupun negeri khususnya.

Program ini merupakan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, Kuching hari ini.

Menurut Yang Di-pertua (ABIM) Negeri Sarawak, Muhammad Hazim Azhari, program ini juga bertujuaan untuk menekankan para belia mengenai konsep 4K ( Keluarga, Kerjaya , Kewangan , Kesatuan ) bagi memupuk sikap bertanggungjawab dan semangat patriotisme dalam golongan belia.

Dianggarkan seramai 100 orang para pemimpin belia dalam kalangan pemimpin pertubuhan belia, pemimpin mahasiswa, belia yang berminat serta para pemegang taruh berkaitan belia di Negeri Sarawak yang terlibat dalam program ini.

Selain itu, program ini turut disusuli dengan program perbahasan di mana objektifnya untuk membangunkan semangat dan motivasi pemimpin belia dalam membangkitkan potensi diri menjadi pemimpin belia yang terampil dan berkemajuan serta menggerakkan persediaan ke arah pengukuhan dan profesionalisme pertubuhan belia di Sarawak.