BETONG: Kerajaan membayar nilai pampasan tanah yang diambil untuk projek rakyat mengikut nilai pasaran dan adakalanya lebih tinggi.

Menurut Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pembayaran pampasan kepada pemilik tanah membuktikan kerajaan tidak merampas tanah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Untuk melaksanakan projek rakyat, kita (kerajaan) terpaksa mengambil tanah sebab kita belum mempunyai teknologi untuk membina infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat di atas langit, ditambah sekiranya bergantung kepada tanah kerajaan ia terlalu jauh.

“Pengambilan tanah mahu tidak mahu akan berlaku. Namun kerajaan membayar pampasan yang mana adil dan munasabah kepada pemilik tanah yang dilakukan mengikut peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pampasan bagi Projek Jalan Ijok, Teguyu, Lempaong, Batu Pesok, Rantau Layang dan Perdu, Spak di Betong dekat Pejabat Residen Bahagian Betong, hari ini.

Jelas Awang Tengah, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

Sebanyak 143 pemilik tanah daripada enam rumah panjang menerima pampasan masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM3,090,128.20.

Tanah mereka diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembinaan jalan di kawasan Ijok, Teguyu, Lempaong, Batu Pesok, Rantau Layang dan Perdu, Spak melibatkan tanah berkeluasan 65.7 hektar.

Projek berkenaan diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 10 Februari 2016 melalui agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada 19 penerima di bawah Skim Pembesaran Kampung Melayu Betong.

Keseluruhan lot yang diperuntukan ialah 118, namun TOL selebihnya telah diserahkan pada 2011 (25) dan 2016 (61). Sementara 13 lot lagi diperuntukan untuk rezab bencana alam dan kampung.

Hadir sama Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcom Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng.