LIMBANG: Pelajar diingatkan supaya menuntut ilmu dengan sebaiknya dalam memperoleh keputusan yang baik sekaligus dapat mengubah taraf hidup keluarga.

Ahli Parlimen Limbang YB Hj Hasbi bin Habibollah berkata dengan adanya keputusan akademik yang baik, seseorang itu dapat mengubah tahap kehidupannya ke tahap yang lebih baik.

“Untuk memperoleh keputusan yang membanggakan, pelajar sekolah digalakkan untuk terus menimba ilmu setinggi-tinggi yang mampu demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Program Membaca Ilmu Nadi Dunia Akhirat (MINDA) Peringkat Daerah Limbang di Dewan SMK Seri Patiambun Limbang, pagi semalam.

Menyentuh mengenai program MINDA ini, beliau menyokong penganjurannya dan berharap setiap pelajar mengambil peluang ini untuk meningkatkan budaya membaca.

“Program MINDA yang diadakan ini adalah mengalak dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan warga sekolah meliputi pelajar, guru dan kaki tangan sekolah.

“Program ini juga mampu untuk meningkatkan teknik kemahiran membaca yang berkesan serta meningkatkan budaya dan kemahiran berfikir (KBAT) di kalangan pelajar,” tambahnya.