KUCHING: Kejayaan atlet Orang Kurang Upaya (OKU) Sarawak di Sukan Para Sukma di Ipoh, Perak November 2018 lepas sekaligus muncul juara buat kali ke-13 dan berturut-turut sejak 1994 adalah suatu yang harus dibanggakan.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti YB Datuk Francis Harden Hollis berkata Kerajaan Sarawak telah mengamanahkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) untuk membangunkan sukan OKU di Sarawak dan telah berjaya menampakkan kejayaan.

“Mulai Julai 2018, Kerajaan Sarawak telah mengamanahkan KWKPK bagi merancang dan membangunkan sukan OKU.

“Dalam masa yang singkat itu, kita telah berjaya meraih kerajaan apabila pasukan Sarawak telah muncul juara di Sukan Para Sukma Edisi ke-19 di Perak.

“Pada kejohanan itu, Sarawak telah memperoleh 163 pingat dengan 61 pingat emas, 62 perak dan 40 gangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Program Unit Pembangunan OKU 2019 dan 2020 mewakili YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak di Hotel Dormani Rajah Court.

Selain itu, KWKPK juga telah berjaya menganjurkan Sukan Special Olimpik Sarawak di Kuching pada bulan Ogos 2018, menduduki tempat ketiga di Sukan Orang Pekak Malaysia di Perak, menganjurkan Kursus Olahraga Tahap 1 Kesatuan Olahraga Malaysia di Kuching dan menganjurkan Kejohanan Borneo Cup – Bola Sepak Special Olympics di Kuching.

Francis Harden turut menjelaskan KWKPK juga akan mengambil inisiatif untuk memperkasakan golongan orang kurang upaya dalam rekreasi dan sukan.

“Ini akan kita jayakan melalui Program Jerayawara dan TID (Talent Indentification) di semua bahagian di negeri Sarawak pada tahun 2019 dan 2020.

“Kami akan mencari atlet di kalangan golongan OKU untuk disaring dan ditempatkan di dalam program tersebut untuk digilap bakatnya menjadi atlet yang mampu membawa kejayaan kepada Sarawak,” tambahnya.

Pada tahun 2017, seramai 700 OKU telah diuji di 12 bahagian di Sarawak oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam sukan.

“Daripada jumlah itu, 100 orang atlet telah dipilih mewakili zon masing-masing dengan mengambil bahagian di dalam Sukan Sarawak (SUKSAR) 2017.

“15 OKU berjaya menempatkan diri di dalam pasukan para Sukma Sarawak 2018 dan berjaya memenangi pingat walaupun ini merupakan penglibatan mereka buat kali pertama di peringkat kebangsaan,” katanya.

Mengenai pusat latihan yang menjadi fokus utama dalam melahirkan atlet berwibawa, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan 12 pusat latihan di setiap bahagian.

Pusat-pusat latihan ini akan ditentukan di bandar-bandar yang berpotensi semasa Jerayawara dan TID dengan dua orang penggerak terlatih akan ditugaskan untuk mengendali aktiviti di pusat latihan pelapis yang ditubuhkan.

Dalam persiapan atlet kita di Sukma Johor 2020, sebuah Pusat Latihan Atlet Elit Sarawak akan dibina di Kuching.

“Di sini nanti, atlet yang terpilih dan mampu menyumbang kepada pingat akan menjalani latihan jangka panjang.

“Untuk projek pertama ini, seramai 20 orang atlet elit akan diambil berdasarkan merit.

“Mereka akan diberikan sagu hati dan tempat penginapan semasa latihan yang akan dilatih oleh empat orang jurulatih bertauliah,” katanya lagi.

Turut diambil perhatian ialah persediaan pasukan SOPMA dan Para Sukma 2020 dengan persiapannya telah dilakukan sejak 2018.

Mereka ini telah dipilih berdasarkan syarat kelayakan (mengikut aspek pencapaian/ skor dalam sukan terlibat) manakala atlet baru akan diberi pendedahan sekiranya mereka berpotensi dan mampu menyumbang kejayaan kepada Sarawak.

Sarawak turut menganjurkan Special Olympics State Games yang akan diadakan di Sibu pada tahun 2020.

“Kita hanya ada tempoh dua tahun dari sekarang untuk merancang dan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan itu,” katanya.