Datuk A Kadir Jasin melalui blognya ada mengeluarkan satu kenyataan mengenai ketidakpuashatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terhadap prestasi kerja anggota Kabinet.  Jika dilihat kekecewaan atau ketidakpuashatian Perdana Menteri antaranya berpunca daripada isu-isu yang dibangkitkan selepas kerajaan Pakatan Harapan berjaya mentadbir negara.

Antara isu panas yang menjadi duri dalam daging dalam kalangan kabinet adalah isu yang berkaitan dengan gagal tunai janji, agama, perkauman dan pelbagai lagi. Malah lebih memalukan lagi apabila ada segelintir anggota kabinet yang tanpa segan silu menipu soal kelayakan akademik yang mereka miliki.

Bayangkan jika sikap integriti sebagai anggota kabinet sudah tercalar bagaimana rakyat ingin memandang tinggi dan menyokong setiap langkah yang diaturkan oleh anggota kabinet yang dilantik?

Sedangkan Tun Dr Mahathir sendiri sebagai Perdana Menteri yang melantik mereka sudah kecewa dan tidak berpuas hati dengan tahap pencapaian mereka. Apatah lagi rakyat yang pasti lebih rasa kecewa dan marah. Sepatutnya rakyat menjadi keutamaan pucuk kepimpinan pada hari ini tetapi realiti yang sebenar hanya menjadi tikus makmal kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan agenda mereka.

Jadi sangat tidak hairan apabila Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi. Jelas langkah ini merupakan salah satu bukti kukuh bahawa prestasi anggota kabinet hari ini pada tahap yang paling rendah.

Sekali gus membuktikan bahawa anggota kabinet hanya pandai bercakap daripada membuat kerja dan hasilnya seperti tin kosong. Kesudahannya memaksa Perdana Menteri melantik tokoh-tokoh ekonomi yang lain untuk menguruskan hal ehwal ekonomi negara.

Apa tidaknya, hampir sembilan bulan mentadbir negara tiada apa-apa perubahan yang dapat dilihat oleh rakyat. Padahal, sebelum ini beria mereka katakan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih harga minyak, harga barang semua akan turun. Tetapi malangnya, apabila GST sudah dihapuskan pun rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat.

Jadi persoalannya selama hampir sembilan bulan ini apa sahaja yang dilakukan oleh menteri dan timbalan menteri? Adakah masih mahu gunakan skrip yang sama iaitu kerajaan terbeban dengan hutang?

Sudah-sudahlah mempermainkan emosi rakyat, rasanya inilah masa yang tepat dan sesuai untuk merombak semula anggota kabinet. Sekarang ini negara memerlukan anggota kabinet yang boleh menyelesaikan masalah rakyat bukannya yang pandai bercakap sahaja.

Jadi sebaiknya buang atau pecat sahaja anggota kabinet yang jelas tidak memberi apa-apa fungsi kepada kerajaan. Sebelum rakyat sendiri membuat rombakan terhadap  keseluruhan kerajaan Persekutuan.

Perlu fikirkan semula, sampai bila Perdana Menteri dan kerajaan mahu menyimpan menteri-menteri seperti ini yang secara terang-terangan banyak membuat masalah daripada menyelesaikan masalah. Sepatutnya sebagai menteri mereka bertanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat bukannya menambahkan lagi masalah rakyat dengan isu-isu yang tidak bermoral.

Apa guna cukup setiap bulan ambil gaji yang berpuluh-puluh ribu tetapi hasil kerja yang dibuat tidak setimpal dengan apa yang diterima malah rakyat pula semakin hidup dalam kesempitan.

Ingatlah mereka dilantik untuk berkhidmat untuk rakyat dan memberikan kesenangan kepada rakyat bukan semakin membebankan rakyat dari hari ke hari. Ketahuilah rakyat sudah tidak mahu hidup susah lagi!

Dhia Hani

Persatuan Pemikir Muda Johor