LUNDU: “Terima Kasih YB dan Kerajaan Sarawak…,” itulah kata-kata yang dilafazkan daripada mulut tiga orang penerima projek baik pulih rumah di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, YB Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu hadir dan memasang sendiri plak projek MRP – PPRMS itu di setiap rumah yang dikunjungi.

Sebanyak RM23,055 telah diperuntukan kepada tiga penerima PPRMS Tanjong Datu yang terlibat dalam projek baik pulih rumah.

Antara yang menerima manfaat tersebut Sim Woon Kang dari Kampung Sekambal Cina yang mendapat projek baik pulih untuk dinding dapur dan tandas dengan kos berjumlah RM10,555.
Di samping itu, Litai anak Lahir dari Kampung Sileng Dayak turut menerima projek baik pulih atap rumah dengan kos RM6,720.

Turut sama menerima projek baik pulih rumah ialah Fatimah Abdullah di Kampung Stunggang Melayu Lama dengan kos RM5,780 dengan pembinaan lantai, tandas, tingkap, pintu, atap dan dapur.

Jamilah turut menyumbang sedikit peruntukan bagi membolehkan kerja-kerja akhir seperti mengecat dan membersihkan kawasan agar setiap rumah yang terlibat kelihatan kemas dan cantik.