KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluaraga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) akan terus komited dalam usaha memajukan pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) di Sarawak serta bersiap sedia bagi menjayakan Sukan Olimpik Khas Negeri 2020 di Sibu.

Menterinya, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan kementerian, melalui Program Unit Pembangunan OKU 2019 dan 2020 di Sarawak.

Katanya, untuk tempoh dua tahun dari sekarang persiapan dan perancangan lengkap serta komitmen yang tinggi bagi menghadapi Sukan Olimpik Khas Negeri 2020 di Sibu harus dibuat seperti yang dibuktikan melalui pengajuran oleh tuan rumah Kuching pada tahun lepas.

Bagi tempoh yang singkat kementerian telah berjaya menganjurkan beberapa sukan melalui Unit Pembanguna OKU seperti Sukan Khas Olimpik, Sukan Orang Pekak di Perak, Kejohanan Borneo Cup- Bola Sepak Olimpik Khas, dan termasuklah menjuarai Sukan Para Sukma di Ipoh baru- baru ini.

“Kementerian akan terus memperkasakan golongan OKU dalam bidang rekreasi dan sukan melalui program Jerayawara dan Talent Indentification (TID) di semua bahagian di negeri Sarawak pada tahun tahun ini dan tahun hadapan, hasilnya seramai 100 orang OKU telah terpilih bagi mewakili Sukan Sarawak (SUKSAR) 2017 dan 15 orang berjaya memasuki pasukan Para SUKMA Sarawak 2018.

Beliau berucap dalam majlis Pelancaran Program Unit Pembangunan OKU 2019 dan 2020 di Hotel Dormani Rajah Court di sini, hari ini.

Teks ucapan Fatimah dibacakan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden.

Tambah Fatimah, 12 pusat latihan di setiap bahagian yang berpotensi di Sarawak akan dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada OKU dan satu Pusat Latihan Atlet Elit di Kuching akan ditubuhkan untuk meneruskan latihan jangka panjang atlit bagi menghadapi Sukan SUKMA 2020 di Johor selain berpeluang mewakili negara.

“Persediaan Pasukan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) dan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 bagi mewakili Sarawak kini juga harus bermula dari awal dengan perancangan dan persediaan yang rapi, disamping proses latihan yang gigih oleh atlit.

“Seperti mana kita sedia maklum, Majlis Sukan Negara (MSN) selaku rakan stategik, turut membantu dalam program pembangunan Sukan OKU ini khasnya melibatkan pembayaran gaji jurulatih, kemudahan sukan, dan penajaan kepada atlit,” ujarnya.

Jelasnya, usaha berterusan melalui penglibatan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan persatuan sukan OKU seperti Olympic Sarawak, Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON), Sarawak Deaf Sports Association (SSDeaf) dan semua pihak lain memainkan peranan penting bersama dengan kementerian dalam memajukan sukan OKU di Sarawak. –Sarawakvoice

Gambar fail