DEBAK: Kerajaan negeri membantu sembilan rumah panjang di Saribas untuk dibaik pulih pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, projek yang disalurkan melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) itu menelan kos RM182,000.

“Projek baik pulih melibatkan Rh Entawa Lakis, Rh Ngelingkong Blassau, Rh Inchok Sabar, Rh Snap Sabar, Rh Buda Ili, Rh Buda Ulu, Rh Jembat Dit, Rh Munggu Tunggal dan Rh Markos Lubok,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mengadakan program randau ruai bersama pemimpin dan penyampaian sumbangan dekat Rh Entawa Lakis.

Jelasnya, jumlah agihan bantuan berbeza mengikut keadaan rumah panjang.

Razi menyarankan agar tuai rumah menggunakan sepenuhnya bantuan kerajaan seperti baik pulih agar dapat memberi manfaat kepada setiap penghuni di situ.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha membawa program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Justeru, sebagai rakyat kita tidak harus mudah terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang cuba mengelirukan fakta tentang isu-isu semasa seperti tanah hak adat bumiputera (NCR), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan dan sebagainya.

“Saya khuatir kerana ada sebilangan masyarakat yang cukup mudah terpengaruh sehingga mengundang pecah-belah dan mengganggu gugat perpaduan kaum di negeri ini.

“Saya menyeru sekiranya terdapat kekeliruan… rujuk agensi berkaitan atau pemimpin yang bertanggungjawab untuk mendapatkan informasi yang tepat,” ujarnya.

Tambahnya, ketua-ketua masyarakat dan kaum mempunyai peranan yang penting sebagai penyebar maklumat khususnya berkaitan polisi dan dasar kerajaan dalam membangunkan Bumi Kenyalang.

Hadir sama Penghulu Masyarakat Iban Kadam Ot dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Saribas Kr Stephen Lambor.