SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka berdepan saingan sengit daripada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Dudong, Wong Chin Yong, justeru GPS perlu menggunakan isu-isu kenegerian bagi memastikan hak negeri seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963, tidak terhakis sekali lagi sekiranya PH menguasai Sarawak.

“GPS perlu lakukan pembaharuan dari segi strategi,” tegas beliau, sambil menambah pakatan berkenaan perlu membuktikan ia bukan boneka Barisan Nasional (BN).

BN Sarawak mengambil keputusan nekad dengan keluar daripada BN Pusat, dan seterusnya menubuhkan GPS pada 12 Jun lalu, selepas kekalahan BN di peringkat pusat.

Kini GPS mempunyai 72 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dalam pilihan raya lalu, PH memenangi 10 kerusi; tujuh dimenangi DAP dan tiga lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PH dijangka mengadakan mesyuarat untuk membincangkan agihan kerusi sebelum akhir bulan ini sebagai persiapan menghadapi GPS dalam pilihan raya negeri yang dijangka seawal akhir tahun depan.

“Kita perlu pertahankan hak Sarawak. Kita ada prinsip sendiri dengan utamakan Sarawak dan rakyatnya. Justeru, GPS perlu perjuangkan hak negeri ini,” tegasnya dalam satu majlis di sini kelmarin.