KUCHING: Sebanyak lebih 900 permohonan bagi subsidi tiket penerbangan pelajar Sarawak telah diterima oleh pihak Sarawak Volunteers untuk diproses setakat ini.

Penasihatnya Fazzrudin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan lebih dari 100 permohonan telah diluluskan manakala 400 permohonan memerlukan dokumen tambahan selain selebihnya masih dalam proses.

Menurutnya lagi, seramai 400 pemohon yang dikehendaki melengkapkan dokumen tambahan telah dimaklumkan untuk berbuat demikian.

Selain itu, tambahnya pihak Sarawak Volunteers merupakan sekreteriat yang membantu memproses permohonan berkenaan sebelum pembayaran baliknya dilakukan oleh pihak Yayasan Sarawak.

Berkenaan tempoh pemprosesan bagi permohonan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menjelaskan ia bergantung dengan berapa banyak permohonan, selain pihaknya juga telah menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi memproses setiap permohonan iaitu sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 minggu.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual khas berkenaan subsidi tiket penerbangan pelajar Sarawak bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Cats fm, dan TV Sarawak di sini.

Sementara itu, Fazzrudin juga memberitahu pelajar hanya boleh menuntut subsidi selepas tiket penerbangan telah dibeli.

Ini kerana jelasnya, pass pelepasan penerbangan atau Boarding Pass merupakan salah satu dokumen yang perlu dilampirkan selain surat pengesahan dari IPT, kad pengenalan serta nombor akaun bank bagi memudahkan proses permohonan dan pembayaran balik.

Selain itu juga, beliau turut mengingatkan permohonan bagi tuntutan subsidi hanya sah 60 hari dari tarikh pass perlepasan.

Disamping itu, beliau amat menggalakkan pelajar dari Sarawak untuk memohon subsidi ini kerana ia sangat mudah dipohon dimana borang permohonannya boleh dimuat turun dari laman Facebook Sarawak Volunteers.

Permohonan juga boleh dihantar tidak kira dimana berada, asalkan mempunyai sambungan jaringan internet.