Sabtu lepas, saya bersama dengan lapan orang pelajar Tahun 3 daripada Program Kajian Politik dan Pemerintahan telah berkelana ke satu daerah yang dikategorikan antara daerah termiskin di Sarawak iaitu Lubok Antu. Perjalanan satu hari itu amat bermakna kerana kita berjaya mencari lokasi untuk mengadakan program Service Learning bagi kursus Politik Negara Membangun. Pendedahan serta pengalaman para pelajar amat penting apabila kita meneroka beberapa tempat di kawasan Lubok Antu.

Perjalanan lebih kurang empat jam dari UNIMAS menggunakan sebuah van ternyata berbaloi apabila kita sampai di destinasi iaitu Kampung Nanga Kesit, Lubok Antu. Lubok Antu merupakan kawasan luar bandar di Sarawak yang majoriti penduduk merupakan kaum Iban.

Dari segi politik, kawasan Lubok Antu atau Parlimen Lubok Antu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN). Dua buah dewan undangan negeri (DUN) di bawah Parlimen Lubok Antu iaitu N.33 Engkelili dan N.34 Batang Ai.

Kampung Nanga Kesit ini terletak di bawah DUN N.34 Batang Ai. Kumpulan kami telah meninjau sekolah SK Nanga Kesit yang tidak jauh dari kawasan kampung Tr Sambun, Nanga Kesit. SK Nanga Kesit yang mempunyai lebih kurang 140 orang pelajar dan 13 orang guru merupakan sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Sekolah ini juga menyediakan kemudahan asrama kepada para pelajar yang jauh dan terpaksa tinggal di sekolah demi mencari ilmu.

Ada dua buah agensi kerajaan yang turut berada dalam kawasan SK Nanga Kesit iaitu Klinik Kesihatan Nanga Kesit dan Jabatan Pertanian. Apa yang aneh ialah kedua-dua buah agensi kerajaan ini iaitu klinik dan jabatan pertanian mempunyai bekalan elektrik 24 jam tetapi sekolah masih menggunakan genset untuk memberi cahaya kepada anak luar bandar yang menimba ilmu di situ dan para guru yang mendidik mereka. Kenapa ini berlaku?Persoalan ini memerlukan jawapan.

Selama ini, politik pembangunan yang menjadi genre politik BN ternyata tidak berjaya mengesan tentang keadaan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman atau luar bandar Sarawak seperti SK Nanga Kesit. Keadaan SK Nanga Kesit amat memilukan.

Asrama tempat pelajar tinggal dan berteduh daripada panas dan hujan banyak kekurangannya berbanding dengan sekolah di kawasan separa-bandar yang mempunyai asrama. Kemudahan lain seperti tandas amat menyedihkan. Kenapa sebelum ini para pemimpin dari kawasan ini tidak menyuarakan perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab?

Namun begitu, kredit harus diberikan kepada Ahli Parlimen Lubok Antu yang baru memenangi Parlimen Lubok Antu semasa PRU 14 lepas sebagai calon bebas yang kini telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu YB Tuan Jugah Muyang yang telah bersuara semasa sidang Parlimen lepas berkaitan dengan kedaifan SK Nanga Kesit.

Bilik genset

Beliau telah meminta peruntukkan untuk menyambung bekalan elektrik 24 jam kepada sekolah tersebut. Turut bakal diberikan adalah kemudahan kepada para pelajar yang tinggal di asrama. Jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Lemanak yang merupakan jalan utama ke sekolah bakal diganti dengan jambatan konkrit yang sudah diluluskan peruntukan.

Bila pemimpin kita bercakap berkaitan dengan betapa pentingnya pendidikan, mereka juga harus peka kepada persekitaran tempat untuk menimba ilmu seperti sekolah. Impian kita ingin mengubah nasib anak tempatan di luar bandar melalui pendidikan harus disertakan dengan tindakan memastikan kemudahan sekolah di tahap yang terbaik.

Asrama Perempuan

Ini kerana persekitaran sekolah seperti kekurangan kemudahan sudah pasti akan mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran. Seperti di SK Nanga Kesit, kemudahan buku teks juga perlu diberi perhatian. Kita difahamkan, kebanyakkan buku teks banyak telah koyak dan ini perlu diganti. Ini kerana buku merupakan salah satu sumber ilmu.

Tindakan segera oleh kerajaan amat diperlukan bagi membantu sekolah-sekolah di luar bandar di Sarawak yang kekurangan kemudahan asas yang sepatutnya mereka miliki. Para pemimpin harus ketepikan perbezaan politik dalam menangani isu berkaitan pendidikan. Keadilan dan kesaksamaan dalam pendidikan merupakan hak rakyat.

Bantulah rakyat di luar bandar untuk mendapat akses pendidikan yang setaraf dengan apa orang di kawasan bandar perolehi. Perhatian serius daripada pihak yang bertanggungjawab amat diperlukan untuk menyelesaikan perkara yang sentiasa mengundang kegusaran pemegang taruh sekolah-sekolah di luar bandar ini. Tidak payah bercakap projek mega sekiranya sekolah-sekolah di luar bandar seperti SK Nanga Kesit ini pun tidak dapat diselesaikan. Isu ini memang sudah lama dibahaskan namun usaha ke arah penyelesaian tuntas kurang ditunjukkan oleh para pemimpin.