KUCHING: Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani menyatakan Sarawak kini dalam usaha untuk tersenarai di dalam rekod Malaysia Book of Records (MBR) dengan melaksanakan peraduan Jumlah Cerpen Terbanyak mengenai Perpaduan di Sarawak melalui Projek Kebanggaan Sarawak (Project on Sarawak’s Pride) di seluruh daerah negeri ini.

Beliau menambah, projek tersebut merupakan projek yang pertama kalinya dilaksanakan dan akan diuruskan oleh Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) dan Institusi Pembangunan Sarawak (SDI).

Menurutnya, YPS dan SDI akan mempamerkan hasil semua cerpen yang dihantar oleh semua yang mengambil bahagian sempena sambutan ulang tahun yang ke 4 Kuching sebagai Bandar Perpaduan pada 1 Ogos 2019.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Wisma Bapak Malaysia, di sini, tengah hari tadi.

Ujarnya lagi, koleksi cerpen dan mesej mengenai perpaduan di Sarawak akan dipaparkan di dalam sebuah maze yang akan dilancarkan pada hari yang sama.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 1,000 naskah cerpen yang perlu di hantar bagi mencatat rekod di dalam MBR.