KUCHING: Sarawak menyasarkan penciptaan rekod baharu dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) apabila menganjurkan Projek Cerita Pendek Perpaduan Terbanyak pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, projek ini menyasarkan penyertaan minimum 1,000 cerita pendek bagi penciptaan rekod tersebut.

“Ia adalah anjuran bersama Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) dan Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Kuching ke-31 serta Sambutan Bandar Perpaduan pada 1 Ogos depan di Tebingan Kuching.

Ia turut disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Champions Kuching; Lembaga Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Faradale Media-M Sdn Bhd (FMM).

Morshidi berkata, beliau yakin jumlah penyertaan yang disasarkan dapat dicapai memandangkan rakyat Sarawak adalah saling harmoni dan tidak ditegangkan oleh masalah perkauman.

“Kehidupan seharian mereka adalah dalam situasi kejiranan; dengan sekolah dan tempat kerja begitu terbuka dengan penerimaan sosial.

“Semangat bersatu dalam kepelbagaian ini telah wujud sejak dahulu lagi dan kekal utuh dalam kalangan rakyat, sekali gus menjadi bahan yang baik untuk diketengahkan dalam karya,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Ujarnya, bagi mengukuh aspirasi perpaduan tersebut, penganjur turut bercadang untuk menyediakan siri pameran cerita perpaduan di beberapa Bahagian seperti Sibu, Bintulu dan Miri yang dijadualkan pada 1 Ogos hingga 16 September depan,” tambahnya. –Sarawakvoice