KABONG: Penderitaan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong kini mendapat perhatian ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir.

Raj Amirul Ramli, 17 tahun, seorang anak ibu tunggal bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Anak ketiga daripada lima adik-beradik ini kini tinggal bersama ibunya yang hanya seorang suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan tetap setelah ayahnya meninggal beberapa tahun lalu.

Ibunya kini bersandar harapan kepada sedikit hasil kebun kelapa sawit dan upah menjahit pakaian bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Kisah duka Raj Amirul bermula apabila dia pada mulanya tiba-tiba jatuh pengsan di dalam kelas ketika sesi persekolahan baru memasuki minggu kedua 2019.

Dia dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan dia mengalami pendarahan di dalam otak.

Bermula dari peristiwa itu dia daripada seorang remaja yang berpewatakan yang sangat aktif kini terbatas penglibatan dalam pelbagai aktiviti.

Raj Amirul seterusnya menjalani pembedahan di kepala dan leher di Hospital Sibu. Tidak cukup dengan itu dia selepas ini bakal menjalani pembedahan ketiga. Ini bergantung kepada situasi kesihatannya. Dikhabarkan dia akan menjalani rawatan susulan pada 17 Februari ini di Sibu.

Raj Amirul sebelum ini juga begitu aktif dalam badan dakwah di sekitar Kabong bersama Kelab Remaja Islam Kabong .

Meski berhadapan dengan dugaan yang amat besar namun dia terus tabah menjalani kehidupan dan berharap akan kembali pulih seperti sedia kala.

Sehingga hari ini Raj Amirul masih belum dapat menghadirkan diri ke sekolah ekoran keadaan kesihatannya yang masih belum mengizinkan.

Chee yang simpati dengan nasib yang menimpa remaja ini telah tampil mengunjungi kediaman Raj Amirul bersama isteri, Meryani Haji Yasin di kediaman yang terletak di Kampung Hilir Tengah pada 8 Februari lalu.

Kehadiran Chee dan isteri turut menyerahkan sumbangan kewangan bagi membantu membiayai kos rawatan dan seterusnya bagi meringankan bebanan yang dialami. –Sarawakvoice

Raj Amirul Ramli, 17 tahun.

Chee ketika mengunjungi rumah Raj Amirul (kanan). Turut kelihatan ibu pelajar tersebut (kiri)

Menerima sumbangan daripada ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir