KUCHING: Pameran “Ruai Sarawak” dan Hari Terbuka Majlis Seni Sarawak (MSS) dijangka akan lebih memasyarakatkan rakyat dengan pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang hari terbuka itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Sharkawi Amit antara tujuan lain Hari Terbuka itu diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara MSS dan juga NGO etnik yang ada di Sarawak.

Hari Terbuka MSS berlangsung daripada 11 Februari sehingga 17 Februari dengan pelbagai aktiviti seperti Pameran Kraftangan, Peragaan Pakaian Tradisional, Persembahan Peserta Kursus Seni 2018, Pertandingan Mewarna, Memasang Cawat dan Pakaian Tradisional (Kanak-Kanak).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pameran Ruai Sarawak dan Hari Terbuka MSS di Kuching petang Selasa.

Tambah beliau lagi bagi yang berminat untuk mengikuti Kursus Seni 2019 juga boleh datang untuk pendaftaran sepanjang hari terbuka tersebut.

Antara kursus yang ditawarkan ialah, Kursus Tari, Kursus Muzik, Kursus Vokal, Kursus Teater, Pancaragam Briged Budaya, Bengkel Pengacaraan, dan Pengambilan Ahli Muzik Orkestra.