KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha menyediakan bantuan guaman terbaik bagi membantu 44 anak Sarawak yang menjadi tahanan bersama tiga rakyat Malaysia di Kemboja.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, isu itu dianggap sensitif kerana membabitkan dua negara dan memerlukan pendekatan diplomatik.

“Usaha membebaskan kesemua tahanan itu memerlukan rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Sebarang tindakan yang mendahului kerajaan boleh mengganggu siasatan termasuk proses rundingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat keluarga tahanan di Taman Sri Wangi di Kuching pada Isnin.

Katanya, isu itu telah menjadi kes polis dan terpaksa menunggu siasatan lanjut.

” Kerajaan Sarawak bagaimanapun menghargai usaha Kementerian Luar Negeri untuk membawa pulang kesemua tahanan itu,” katanya.

Selain itu, tambah Fatimah pihaknya kini memberikan bantuan khidmat kaunseling kepada keluarga tahanan di Sarawak.

Beliau turut menasihatkan supaya mengurangkan publisiti tentang perkembangan kes tersebut kerana dikhuatiri akan menjejaskan proses siasatan dan rundingan sehingga membahayakan nyawa tahanan.

“Sekarang kita fokus kepada usaha membebaskan tahanan tidak bersalah dan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.