KUCHING: Sarawak negeri pertama mengambil inisiatif menubuhkan Unit Integriti diketuai pegawai integriti bertauliah (CEIO).

Unit ini ditubuhkan di semua kementerian dan jabatan Kerajaan Sarawak serta badan berkanun negeri.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg penubuhan unit ini sebagai komitmen meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Bercakap pada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri dengan kerjasama SPRM,  Abang Johari meminta agar semua agensi kerajaan negeri mengenal pasti risiko rasuah.

Foto RAMIDI SUBARI

Turut dikehendaki agensi menyediakan pelan pengurusan rasuah masing-masing.

Menurut beliau, untuk meningkatkan tahap integriti sekali gus membanteras rasuah, beliau mahu agar kumpulan sokongan diberi perhatian dengan menyediakan kursus sesuai untuk mereka.

Semalam Kursus CEIO dilancar bagi melatih 40 penjawat awam negeri termasuk daripada badan berkanun negeri.

Mereka ini ditempatkan di setiap unit itu CEIO nanti.

Mulai semalam seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditempatkan di Unit Integriti dan Ombudsman Negeri membantu membudayakan integriti serta meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan.