MIRI: Teruja memiliki motosikal berkuasa tinggi menyebabkan seorang pemuda berusia 20 tahun mengalami kerugian RM4,700 apabila diperdaya penjual dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku sejak Julai 2017.

Menurutnya, mangsa sebelum itu melihat iklan jualan motosikal jenis 250cc di aplikasi facebook pada harga RM7,000 dan terus menghubungi penjualnya.

“Mangsa kemudian berjumpa dengan seorang lelaki (penjual) di Taman Tunku sebelum menyerahkan wang RM1,000 sebagai pendahuluan.

Seterusnya mangsa dibawa untuk melihat motosikal tersebut di Taman Perumahan Padang Kerbau.

“Selepas berpuas hati dengan keadaan motosikal tersebut, mangsa kemudian melakukan pembayaran sebanyak RM3,700 melalui beberapa transaksi ke dalam satu akaun bank dipercayai milik suspek,” kata Mustafa dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa hanya melaporkan perkara tersebut kepada polis semalam apabila motosikal yang dijanjikan tidak dihantar kepadanya dan suspek turut gagal dihubungi.

“Mangsa selain itu turut mendapati motosikal tersebut tiada lagi di Taman Perumahan Padang Kerbau dan rumah tersebut juga telah disewa orang lain,” jelas Mustafa.

Polis kini masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan mohon orang ramai untuk berhati-hati ketika berurusan dengan penjual dalam talian.

“Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya muslihat atau tipu helah pihak tertentu yang menawarkan barangan jauh lebih murah daripada harga pasaran.

“Periksa blog, facebook instagram dan laman web terlebih dahulu untuk mengetahui berapa lama mereka telah beroperasi, juga lihat kalau ada komen dari pelanggan sebelum ini,” kata Mustafa.