KUCHING: Termakan janji dengan tawaran gaji bulanan sebanyak USD1,500 punca 47 raykyat Malaysia tergoda sehingga menjadi mangsa tahanan di penjara Poipet, Kemboja.

Ia diceritakan Aron Naldy Muhammad Ting Abdullah, 22, salah seorang anak Sarawak yang menjadi tahanan di Kemboja kepada akhbar dalam talian The Khmer Times, hari ini.

“Kami tidak tahu mengapa kami ditahan. Kami berharap dapat segera pulang rumah,” katanya anak kelahiran Sibu itu kepada sumber yang disahkan menerusi panggilan telefon Jumaat lepas.

Khmer Times mengetahui bahawa tahanan berusia antara 19 dan 44 tahun termasuk 10 wanita dituduh menipu, membuka dan mengurus perjudian haram dan sedang menunggu pendakwaan.

“Kami disuruh bekerja dari jam 8 pagi hingga 4 petang setiap hari, belajar di tablet bagaimana kerja perjudian dalam talian.

“Kami tidak dibenarkan keluar atau bercakap dengan sesiapa di luar rumah. Mereka merampas telefon dan dokumen peribadi kami ketika pertama kali tiba di rumah.

“Kami berasa seperti sesuatu yang salah. Apabila ditanya mengenai gaji kami, kami diberitahu bahawa ia akan dimasukkan ke dalam akaun kami.

“Kami ingat boleh menyemaknya apabila kami kembali ke Malaysia semasa cuti Tahun Baru Cina (TBC) ,” kata Aron kepada sumber disahkan yang dilaporkan oleh The Khmer Times.

Aron tiba di Siem Reap pada September tahun lepas bersama dua kawannya, Wong Chung Hung dan Ng Chun Fei selepas masing-masing deposit USD300 kepada sebuah bank Malaysia sebagai pembayaran pasport dan tiket kapal terbang. –Sarawakvoice