Sesuatu yang amat mengejutkan.

Kelmarin beliau dilihat di khalayak ramai ialah ketika menyambut kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sempena rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran bapanya di Sibu.

Siapa sangka beliau perg meninggalkan kita begitu cepat dan tanpa diduga.

Belum dapat dipastikan punca kematian mengejut bintang yang menyinar dalam arena politik Sarawak itu.

Difahamkan, pihak keluarga masih menunggu keputusan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Sesungguhnya, Tuhan tidak akan menangguhkan kematian seseorang walau sesaat.

Berita kematian Datuk Andrew Wong Kee Yew memang menggemparkan penduduk di Sarawak terutama di bandar Sibu.

Pasti penduduk Sibu, terutama masyarakat Cina akan merasai kehilangan beliau yang dikatakan begitu prihatin terhadab nasib dan masa depan bandar Sibu.

Siapa Andrew Wong?

Pada usia 42 tahun, Andrew dilihat sebagai pemimpin yang meningkat naik.

Popularitinya mulai menyerlah selepas dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu.

Beliau juga ialah pengasas Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) yang semakin mendapat tempat di hati pelajar.

Beliau ditemui meninggal dunia di kediaman keluarganya di Jalan Ipoh, Sibu.

Beliau ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya kira-kira  pukul 9 malam.

Pada PRU-14  beliau bertanding atas tiket BN menghadapi saingan empat penjuru di Parlimen Sibu.

Dalam pertandingan itu,  calon DAP, Oscar Ling Chai Yew  menang dengan majoriti 11,422 undi manakala dua lagi calon, Simon Tiong Ing Tung (STAR) dan Tiew Yen Houng (SPP), hilang wang pertaruhan.

Beliau diuar-uarkan bakal menggantikan tempat ayahnya di Bawang Assan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sejauh mana benarnya kenyataan itu, belum dapat dipastikan.

Media yang memetik sumber berkata, ibu mangsa ke bilik tidur mendiang di tingkat dua kediaman itu untuk memeriksa keadaannya selepas anak lelakinya itu tidak menyahut panggilan.

Sepatutnya beliau makan bersama-sama dengan ahli keluarga lain, namun beliau tidak turun selepas beberapa panggilan dibuat sehingga menimbulkan pertanyaan.

Dilaporkan sejurus pintu bilik dibuka, Kee Yew yang didapati terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Keadaan menjadi panik.

Doktor segera  dipanggil ke kediaman itu untuk memeriksa keadaannya, namun  media melaporkan, beliau disahkan sudah meninggal dunia.

Beliau ialah anak lelaki tunggal Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Andrew Wong meninggalkan seorang isteri dan dua anak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.

Takziah kepada keluarga Soon Koh yang tentu merasai kehilangan anak tersayang mereka.