Polis selamatkan wanita diculik teman lelaki

0
4

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita yang diculik oleh teman lelakinya akibat tidak mahu memenuhi permintaan untuk tinggal bersama di Johor, semalam.

Wanita itu diselamatkan selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang menyerbu rumah seorang suspek berumur 43 tahun di Taman Serom 6 Tangkak Johor, hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, wanita itu ditemui dalam keadaan baik, ​namun mendakwa dia dipukul oleh suspek beberapa kali ketika dalam perjalanan ke selatan tanah air.

“Wanita yang berusia 31 tahun itu, dilarikan oleh teman lelakinya di Sungai Chua, Kajang dengan menaiki sebuah kereta, Jumaat lalu dan kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, disaksikan oleh bapa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada kesungguhan suspek yang mahu teman wanitanya itu kembali tinggal bersamanya di Johor, namun wanita itu enggan berbuat demikian.

Ahmad Dzaffir berkata siasatan awal mendapati suspek yang juga disyaki majikan kepada wanita itu dikatakan mahukan supaya wanita itu pulang bekerja di Muar, Johor namun ia ditolak kerana tidak dibayar gaji.

Beliau berkata menurut bapa wanita itu, anaknya bekerja dengan suspek sudah hampir setahun, mengusahakan kebun sayur.

“Suspek kini direman sehingga Rabu ini dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.– BERNAMA