SARIKEI: Jalan raya yang menjadi penghubung utama penduduk Sarikei dan bandar baharu Tanjung Manis dijangka dibina tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii memberitahu, tender bagi projek berkenaan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Apa yang lebih menggembirakan katanya, pelaksanaan kemudahan infrastruktur yang memberi manfaaf kepada penduduk pesisir itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Sejak menjadi wakil rakyat, saya mengemukakan permohonan pembinaan jalan ini beberapa kali dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pembinaan jalan raya ini mengakhiri penantian penduduk sejak sekian lama. Dengan adanya laluan baharu ini nanti jarak perjalanan penduduk di kedua-dua kawasan akan menjadi lebih singkat,” katanya pada majlis Tahun Baharu Cina di Dewan Tamu di sini.

Projek yang dianggarkan bernilai lebih RM400 juta turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan yang merentasi Sungai Rajang sepanjang 1.2 kilometer dan jalan sepanjang 18 kilometer.