KUCHING: Integriti merupakan soal hati, iaitu jati diri sendiri yang membuktikan keteguhan, keutuhan dan kemantapan nilai yang ada dalam diri individu.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, Unit Integriti dan Ombudsman Negeri tidak akan berputus asa dalam menyebarluaskan nilai integriti hingga ke akar umbi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 (MAPI2019) di PCC Demak hari ini.

Tambah beliau, sejak penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) pada 1 Februari 2018 yang lalu, sebanyak 49 buah program telah berjaya dilaksanakan

Antara program yang telah diadakan adalah Program Pemimpin Bersama Masyarakat yang bertujuan untuk mewar-warkan kepada masyarakat khususnya kepada ketua kaum, ketua masyarakat dan orang awam mengenai integriti, rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, program integriti di institusi pengajian tinggi juga telah dilaksanakan dimana generasi baharu perlu didedahkan dengan nilai integriti.

Manakala untuk penjawat awam pula, mereka diperkenalkan Corruption Risk Management (CRM) bagi membolehkan setiap agensi mengenalpasti ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa serta mengambil tindakan mengurangkan kesalahan tersebut. –Tvsarawak.com