Lelaki hilang di Saratok ditemui dalam keadaan lemah

0
22

SARATOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di simpang Nanga Budu, Krian Saratok Jumaat lalu berhasil pada petang semalam.

Pencarian yang berlangsung sehingga hari ketiga berjaya menjumpai individu yang dicari setelah melalui kawasan pencarian sejauh 12 kilometer menyusuri jalan raya dan 5 kilometer melalui kawasan hutan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat berkata, lelaki yang dicari Duncan Leslie, 26, berjaya ditemui kira-kira jam 6. 55 petang Ahad.

 Nazry Mohammat.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah di kawasan kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Bomba.

“Pasukan SAR dengan kekuatan 36 anggota melibatkan anggota bomba,
polis, Pasukan Bomba Sukarela Sungai Ruan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Betong dan penduduk Kampung.

“Radius Pencarian pada sekitar 12 KM menyusuri jalan raya dan 5 KM dalam kawasan hutan. Mangsa dijumpai dalam keadaan selamat tetapi lemah dan dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan.

” Sebaik mangsa berjaya ditemui operasi SAR ditamatkan pada petang itu juga, ” ujar Nazry.

Dalam kejadian pada petang Khamis, seorang lelaki dari Rumah Rosita Dugat Nanga Budu Krian dikhuatiri hilang selepas tidak balik rumah hingga malam. Ketika hilang lelaki berkenaan memakai baju T warna hitam dan seluar pendek berwarna coklat.

Penduduk yang mencari mangsa pada hari pertama menjumpai topi dan selipar milik mangsa di tepi sungai yang terletak 12 kilometer dari rumah panjang terbabit.

Semasa berlangsung operasi SAR, Ahli Parlimen P. 205 Saratok, Ali Biju antara yang turut sama menyertai operasi tersebut.