SIBU: Bekas calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sibu, Datuk Andrew Wong ditemui mati di kediaman keluarganya di Jalan Ipoh, di sini malam tadi.

Andrew, 42 tahun, yang merupakan anak lelaki tunggal kepada Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Sri Wong Soon Koh ditemui tidak sedarkan diri di lantai biliknya sekitar jam 9.00 malam, oleh ibunya Datin Sri Liong Po Ling.

“Sebelum itu, pembantu rumah mangsa ada memanggilnya sekitar jam 7.00 malam untuk makan malam bersama namun mangsa tidak menjawab,” kata keluarga rapat mangsa ketika ditemui sebentar tadi.

Kematian Andrew, yang juga bekas Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu disahkan oleh doktor perubatan Hospital Sibu yang dipanggil ke kediaman tersebut.

Beliau yang disifatkan sebagai mesra rakyat dan pemurah meninggalkan seorang balu dan dua anak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kematian tersebut dan memberitahu pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat sebelum membuat keputusan mengenai kes tersebut.

Ketika ini ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Pada Pilihanraya Umum lepas, mendiang tewas kepada calon DAP, Oscar Ling dengan majoriti 11,422 undi.

Dalam pertembungan empat penjuru itu, Oscar Ling memperolehi 33,811 undi menewaskan Andrew Wong yang mendapat 22,389 undi manakala
Jamie Tiew Yew Huong daripada Sarawak Peace Party (SPP) (377 undi) dan Simon Tiong Ing Tung daripada. Parti Reformasi Negeri (STAR) (176 undi)

Sementara itu, tinjauan wartawan sarawakvoice.com mendapati pasukan penyiasat telah memasuki kediaman keluarga tersebut untuk melihat segala kemungkinan.