KOTA SAMARAHAN: Seramai 120 anggota Tentera Malaysia yang pernah berkhidmat semasa darurat pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 menerima pingat Kedaulatan Negara (PKN) di Markas Pemerintah Medan Timur Tentera Darat, Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada 97 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), tiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 20 lagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Penyampaian pingat terbabit disempurnakan oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dalam majlis yang sama, Zulkifli menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 veteran ATM yang berasal dari Sarawak.

Pingat terbabit dianugerahkan kepada mereka atas khidmat bakti

memelihara keamanan negara antara tahun 1969 hingga 1989.

Pingat berkenaan diwujudkan pada tahun 2004 bagi mengiktiraf pengorbanan setiap anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM semasa zaman darurat.

PJM dimartabatkan sebagai pingat terkanan dalam  susunan berbanding anugerah yang sama taraf dengannya.

Lawatan Zulkifli di Kem Muara Tuang diakhiri dengan sesi townhall dan ramah mesra bersama-sama warga ATM yang berkhidmat di kawasan Kuching.

Beliau turut dijadual melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketibaan Zulkifli diiringi oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Toh Choon Siang dan Panglima Angkatan Tugas 450, Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Khir Abdullah.