KUCHING: Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 setahun kepada veteran tentera tidak berpencen seharusnya dipertimbangkan untuk dikekalkan.

Ketua Persatuan Veteran ATM Cawangan Mambong, Kadam Saai berkata, apabila kerajaan PH mengambil keputusan menghentikan pemberian skim BBN, ia memberi kesan kepada veteran tentera.

“Kepentingan veteran tentera harus diberi pertimbangan sewajarnya. Umpamanya, skim BBN sebanyak RM1,200 setahun kepada veteran tidak berpencen harus dikekalkan, ” katanya.

Menurut Kadam, pemberian sesuatu bantuan bukan paksaan sekiranya kerajaan tiada dana untuk tujuan berkenaan.

“Kami tidak paksa kerajaan menyalurkan bantuan jika kerajaan tiada dana.

“Bagi saya, paling penting ialah kerajaan membuat alternatif lain seperti menurunkan harga minyak kerana membantu meringankan kos sara hidup, ” ujarnya.

Menjelas lanjut, sebelum ini pemberian skim BBN berjumlah RM1,200 sebagai tanda penghargaan berterusan kerajaan terhadap perkhidmatan tentera.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan kemungkinan kerajaan hari ini menghentikan pemberian bantuan berkenaan kerana kedudukan ekonomi.

“Mungkin skim BBN kepada kerajaan hari ini suatu bebanan kewangan tetapi perkara besar boleh dilakukan kerajaan ialah mengurangkan sara hidup rakyat.

“Namun jika masih mahu meneruskan pemberian skim BBN, kami terima walau apa pun jumlahnya,” kata Kadam.

Justeru beliau berharap Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang dijangka bersidang pada 28 Februari ini dapat mempertimbangkan kepentingan veteran tentera sewajarnya.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan dilaporkan tidak memperuntukkan dana bagi pembayaran Bantuan Bakti Negara (BBN) yang dilaksanakan pada tahun 2016 dan 2017.

Justeru, Kementerian Pertahanan sedang membuat kajian bagi mencari alternatif lain membantu meringankan beban kos sara hidup pesara tentera tidak berpencen.

Skim BBN diperkenalkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang mula diagihkan pada 2016 pada kadar RM1,000 setahun, sebelum dinaikkan RM200 pada 2017.

Terdapat lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen seluruh negara. –Sarawakvoice