Tuesday, June 28, 2022

Uncle Azra wira yang pertemukan 47 tahanan di Kemboja dan keluarga

Secara Rawak

KUCHING: Selepas dua bulan menjadi tahanan di penjara Kemboja sejak 11 Disember lalu, muncul nama Uncle Azra, individu yang menjadi perantara di antara 47 tahanan Malaysia dan ahli keluarga di Sarawak.

Menurut Zunita Sedini, ibu kepada salah seorang tahanan, Yusuf Islam Abdul Halik, 21 tahun, lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Azra itu telah berulang alik ke Kemboja bagi mendapatkan maklumat secara dekat tentang keadaan tahanan di penjara Bantey Meanchey, Kemboja.

Malah beliau menyifatkan tindakan Uncle Azra itu sangat berani kerana sanggup pergi ke negara tersebut seorang diri selepas mendapat tahu berita penahanan tersebut sejak awal tahun ini.

“Uncle Azra ni just kami punya teman baik. Dia yang sanggup offer diri nak pergi mencari Yusuf.

“Dia kata, macam ni…. Yusuf anak you… Yusuf anak I jugak. Sebab itu dia berani pergi.Dia pergi seorang diri,” katanya dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

Katanya, yang mengejutkan, keberhasilan usaha Uncle Azra apabila berjaya masuk ke kawasan penjara yang terletak di utara Kemboja dan memakan masa lebih sembilan jam perjalanan.

Menurut Zunita, beliau berpeluang bercakap dengan anaknya, Yusuf menerusi panggilan video di penjara tersebut sambil ditunjukkan 46 tahanan yang lain.

Katanya, tiada kekangan atau kerenah birokrasi yang dihadapi oleh Uncle Azra dengan Kerajaan Kemboja sehingga dapat bertemu dengan Yusuf dan rakan-rakannya yang lain sepanjang tempoh tersebut.

“Setakat ini, dia cakap cara dia nak masuk berjumpa Yusuf itu tidak ada masalah.

“Polis Kemboja tiada halangan.

Menurutnya, terbaharu Uncle Azra telah membuat panggilan video sekali lagi pada Jumaat lalu, selain 22 Januari lalu.

Sebelum ini Kementerian Luar mengesahkan laporan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Kementerian Luar berkata, makluman penahanan itu hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

Susulan itu, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sudah mengadakan lawatan konsular ke atas tahanan terbabit selepas mendapat maklumat yang lebih lengkap dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Lawatan itu bertujuan memastikan kebajikan para tahanan terpelihara.

Laporan sebelum ini menyebut seramai 47 warga Malaysia yang mencari pekerjaan di Kemboja ditahan pihak berkuasa negara itu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Sebentar tadi, Zunita memberitahu, beliau mendapat panggilan daripada
Uncle Azra dari Banteay Meanchey, yang memberitahu pihak Air Asia telah bersetuju untuk menanggung kos membawa balik semua mereka yang terbabit setelah dibebaskan kelak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru