KUCHING: Seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Agas Baru Jalan Matang dekat sini semalam, selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika mengesahkan penahanan berkata, suspek yang berusia 38 tahun dicekup sekitar jam 5 petang susulan maklumat awam dan risikan.

“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan menemui beg berwarna hitam yang mengandungi paket lut sinar yang di dalamnya terdapat ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu, seberat 5.40 gram.

Kata Aidil, siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak enam tahun lalu dan mengaku memiliki dadah untuk kegunaan sendiri, selain dijual kepada penagih sekitar.

“Siasatan turut mengesan rekod kesalahan lampau suspek di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952.

Suspek yang memperolehi dadah setelah melakukan pembayaran melalui transaksi bank ditahan di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama.

“Saringan awal mendapati dia turut positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” lanjutnya lagi. –Sarawakvoice