Saturday, January 22, 2022

Politik bukan suatu bidang yang boleh diajar atau ‘disekolahkan’

Secara Rawak

GEMAS: Jangan menilai pemimpin berdasarkan kelayakan akademik kerana politik bukanlah suatu bidang yang boleh diajar dan ‘disekolahkan’ sepenuhnya, kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Jelasnya, bagaimanapun, seseorang pemimpin perlu mempunyai asas-asas kukuh dalam pendidikan, iaitu kelayakan akademik, meskipun sekadar kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bidang politik ini timbul daripada peribadi seseorang itu yang mempunyai kebolehan memimpin, suka membantu serta berinteraksi dengan manusia.

“Untuk masuk politik kita cuma perlu ada asas kelayakan, SPM pun sudah memadai. Tidak semestinya perlu ada ijazah…kalau ada itu sudah cukup bagus tetapi masyarakat kini suka membuat penilaian sendiri.

“Kila lihat sendiri contoh Tun Ghafar Baba…beliau hanya mempunyai kelayakan akademik SPM sahaja tetapi pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, jadi tiada isu mengenai penglibatan politik perlu ada kelayakan akademik yang tinggi,” katanya kepada Bernama selepas program Jelajah Perjuangan Bersatu Bahagian Tampin di sini, pada Sabtu.

Rais berkata demikian mengulas mengenai isu beberapa pemimpin Pakatan Harapan termasuk seorang timbalan menteri yang didakwa menipu latar belakang akademik baru-baru ini.

Tambahnya meskipun begitu, tindakan menipu sijil kelayakan adalah sesuatu yang tidak seharusnya dibuat oleh mana-mana individu.

Mengenai program pada Sabtu, Rais berkata ia bertujuan menerangkan kejituan perjuangan Bersatu yang sering dikritik sekali gus untuk mendapatkan pandangan orang awam.

“Dengan jelajah ini kami dapat mendekatkan diri lebih dekat dengan rakyat serta memperkenalkan asas-asas perjuangan supaya tidak sama dengan UMNO.

“Kami tidak jadikan duit sebagai punca suapan atau input pada perjuangan kami sebab itu kami lakukan penerangan mudah ini kepada orang awam agar mereka sedar mengenai hal ini. Jelajah ini seterusnya akan ke Rasah atau Rembau dalam masa terdekat ini,” katanya.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru