Kemiskinan merupakan suatu tragedi kemanusiaan. Apabila berada dalam kelompok ini maka berlakulah kekurangan sumber asas untuk keperluan kehidupan mereka. Dalam konteks masyarakat moden, masalah kekurangan wang untuk menampung keperluan asas ialah suatu fenomena kemiskinan dalam sesebuah masyarakat yang perlu ditangani.

Bangsa-Bangsa Bersatu mendefinisikan kemiskinan sebagai ketidakupayaan dan kurang mempunyai pilihan serta peluang yang menjejaskan maruah dan harga diri manusiawi.

Ini bermakna kekurangan keupayaan asas untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam masyarakat, tidak cukup untuk menampung makan dan pakaian keluarga, tidak mempunyai akses sekolah atau klinik yang berkualiti, tidak mempunyai tanah untuk bercucuk tanam, tidak mempunyai pekerjaan sebagai sumber dan tanpa akses kepada kemudahan kredit. Tanpa sumber ini bermakna kehidupan tidak terlindung, dan tidak ada upaya dan ini boleh membawa kepada persekitaran yang terpinggir dan rapuh.

Kemiskinan terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah kemiskinan mutlak iaitu, situasi apabila pendapatan isi rumah tidak mampu menampung keperluan asas seperti makanan, pakaian, air bersih, rumah dan kriteria tidak berubah atau tidak mampu menampung kehidupan minimum walaupun perkembangan ekonomi pesat. Fokus kelompok manusia miskin seharian terhad untuk memastikan hidup mereka dalam sehari itu boleh diteruskan.

Ia merupakan fenomena kekurangan sumber yang boleh menjejaskan kesihatan dan survival mereka sebagaimana berlaku di negara- negara miskin atau negera membangun serta boleh juga berlaku di negara maju.

Gambar hiasan

Kemiskinan dianggap relatif dan dijadikan sebagai satu kategori apabila ia bersifat subjektif, iaitu tertakluk kepada tahap kehidupan seseorang dalam sesebuah masyarakat. Kelompok kelas menengah tinggi dalam sesebuah masyarakat mungkin dianggap kelas menengah rendah dalam konteks sesebuah negara.

Begitu juga, apabila pendapatan keluarga tersebut tidak memenuhi tahap sederhana kehidupan, maka ia dianggap sebagai kemiskinan relatif. Kemiskinan ini berlaku juga apabila terdapat kelompok yang mampu memperoleh pendapatan minimum akan tetapi pendapatannya masih jauh lebih rendah berbanding dengan kelompok lain dalam masyarakat sekelilingnya dan pola kemiskinan ini ditentukan oleh keadaan sekitarnya.

Apabila terjebak di lembah kemiskinan maka ia akan membawa kepada perangkap kehidupan manusia dalam kelompok tersebut. Isu pemerdagangan manusia yang baru-baru ini boleh dianggap cubaan kelompok berada dalam kategori tersebut cuba keluar daripada garis kemiskinan dan keluar untuk membantu keluarga akhirnya tertipu dan terjebak dalam sindiket yang cuba memanipulaskan situasi kemiskinan. Di negara seperti India fenomena ini sangat luas berlaku.

Kelompok ini terperangkap dalam perangkap jaringan sendiri apabila tidak mempunyai kemudahan kredit yang betul dan tidak ada sumber kewangan. Justeru, sukar untuk kelompok ini merancang perjalanan masa depan dan hala tuju hidup mereka. Setiap hambatan hidup dihadapi secara spontan dan harian. Situasi ini tidak membawa keadaan dinamik dan kehidupan yang lebih baik kepada diri mereka dan terus dibelenggu dengan keperitan hidup.

Sekiranya ada kemudahan kredit, mereka terperangkap dengan kelompok yang mengambil kesempatan daripada kemiskinan seperti pemimjam tanpa berlesen, ah long dan sebagainya. Ini menyebabkan situasi hidup mereka semakin buruk kerana tidak dapat lari daripada hutang piutang yang ditanggung.

Akibat masa banyak ditumpukan kepada kerja seharian pula, kelompok ini kekurangan masa untuk meneliti dan menilai apa-apa maklumat yang mereka terima. Jadi wujudlah perangkap informasi yang mengelirukan lagi bersifat manipulasi. Maka, tarikan iklan-iklan palsu yang membawa kepada terjebak dalam kes ditipu oleh bakal majikan, iklan pinjaman wang Ah Long berlaku.

Malah kelompok ini mempunyai masa terhad membaca informasi politik terkini dan ini menyebabkan mereka kurang kritis terhadap situasi politik semasa dan mudah terpengaruh dengan dakyah politik yang penuh retorik sehingga wakil rakyat mereka walaupun sudah lama berkuasa masih belum mampu menangani masalah kemiskinan di kawasan yang mereka sendiri. –Sarawakvoice

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.