Sunday, January 23, 2022

Ketua kaum kena lapor masalah setempat kepada kerajaan — Abdullah Saidol

Secara Rawak

DARO: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) berperanan penting memantau keadaan di kampung masing-masing bagi memastikan perkara yang memerlukan perhatian segera dapat disalurkan kepada wakil rakyat atau agensi berkaitan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol berkata, sebagai individu yang dihormati masyarakat, pemimpin peringkat akar umbi itu juga perlu mengelak diri daripada sebarang perbuatan yang boleh mencalar kredibiliti mereka.

Menurutnya, tahap kesejahteraan atau keharmonian sesebuah kampung boleh dinilai daripada peranan aktif unit tadbir urus kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jawatankuasa masjid dan rukun tetangga.

Foto Jiwa Bakti

“Sebagai wakil rakyat, saya amat memerlukan maklumat atau laporan tepat dan segera daripada pemimpin masyarakat. Melalui tindakan proaktif itu, mereka bukan sahaja menjalankan tugas dengan lebih efisien tetapi juga memudahkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan dan pembangunan,” katanya dalam siri lawatan kerja ke kawasan DUN N.42 Semop.

Program lawatan selama empat hari itu bermula dengan Mesyuarat Penyelarasan dan Status Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP ) dalam kawasan N42 Semop bersama beberapa agensi pelaksana yang berkaitan.

Ia kemudiannya diteruskan dengan lawatan kerja ke kawasan termasuk Kampung Kut, Rumah Panjang Won Berkakong, Rumah Angok dan enam buah rumah panjang di Semareng.

Selain berkongsi maklumat tentang status terkini beberapa projek RTP di kawasan tersebut, Abdullah juga memaklumkan beberapa permohonan mereka sebelum ini yang telah diluluskan.

Dalam sesi perjumpaan santai ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop juga mendengar aduan dan rintihan di samping menerima permohonan baharu daripada rakyat selain sempat beramah mesra bersama peniaga Car Booth Sale di Tebingan Sungai Bintangor.

Sementara itu, dalam majlis penyerahan sijil lantikan dan lanjutan KMKK bagi kawasan DUN Semop di Daro, beliau menggesa pemimpin masyarakat supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

KMKK katanya, perlu lebih fokus dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di peringkat kampung.

Sebagai pemimpin peringkat akar umbi katanya, tanggungjawab dan peranan mereka adalah untuk semua penduduk tanpa mengira fahaman politik.

“Justeru mereka tidak perlu terlibat dalam politik kerana perkara itu sudah diserahkan kepada ketua ranting di setiap kampung,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai lima orang ketua kaum dan seorang penghulu menerima pelantikan baharu, manakala empat lagi KMKK dilanjutkan tempoh perkhidmatan masing-masing.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru