SIBU: Persatuan perniagaan Bumiputera di Sibu diminta untuk saling bantu membantu dan bekerjasama dalam membangunkan Sibu ke peringkat yang lebih baik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang dan Menteri Kewangan Kedua Sarawak YB Dato Sri Wong Soon Koh berkata untuk terus maju dan membangun, setiap persatuan perlu saling bekerjasama dan melengkapi antara satu sama lain agar setiap yang dilaksanakan akan menemui kejayaan.

“Ketika ini sumber dan hasil daripada perkayuan semakin menurun. Untuk kekal relevan, kita perlu memperluaskan lagi sumber ekonomi seperti memperkembangkan industri ‘stainless steel’ dan perkapalan.

Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS

“Malah, industri kecil dan sederhana juga mempunyai cabaran dan kesukaran pada masa kini.

“Justeru, setiap persatuan perniagaan perlu menjalinkan kerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain agar setiap kesukaran dapat diatasi dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Persatuan Sibu (UCA) Sibu, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Wong menyeru agar persatuan perniagaan mengeksplorasi sektor-sektor lain khususnya melibatkan pelancongan, pertanian dan pendidikan.

“Ketiga-tiga sektor ini mempunyai potensi yang baik untuk ditingkatkan berdasarkan situasi ekonomi yang sukar yang melanda dunia ketika ini,” tambahnya.

Majlis telah dihadiri TYT Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib serta Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.