KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Negeri Sarawak semalam menerima laporan dua lagi orang hilang.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kes orang hilang pertama melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun dikenali sebagai Langkau Belun.

“Mangsa dikhuatiri hilang dalam hutan beralamat Rumah Buda Meriok Nanga Engkelili, Sri Aman.

“Laporan awal mengatakan mangsa keluar rumah pada pukul 11 pagi semalam atas tujuan yang belum dapat dipastikan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, anak mangsa yang menyedari ketiadaan bapanya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Engkelili sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Kenyataan itu turut menyebut, pihak bomba yang menerima laporan pada pukul 10.42 malam bergegas ke lokasi untuk meninjau persekitaran sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam tadi serta disambung semula hari ini.

Kenyataan itu juga berkata, laporan orang hilang kedua pula melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Hasimah Julaihi, 57, dalam hutan beralamat Rumah Lapie, Ulu Sebauh, Bintulu.

“Laporan awal mengatakan mangsa keluar ke kebun bersama seorang lagi rakannya sekitar jam 1 petang namun tidak balik sehingga pukul 2 petang.

“Anak saudara mangsa kemudiannya membuat panggilan terus ke BBP Bintulu untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan terbabit sambil menambah Hasimah hilang berseorangan.

Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 11 malam tadi dan disambung semula hari ini bersama penduduk kampung.

Hari ini, pasukan bomba menjalankan operasi SAR tiga orang hilang di Sarawak.

Terdahulu, operasi SAR Duncan Leslie, 26, yang hilang di simpang Nanga Budu, Krian Saratok Jumaat lalu masih gagal ditemui.

Semoga operasi SAR hari ini dipermudahkan. –Sarawakvoice

Gambar: IHSAN BOMBA