Friday, December 3, 2021

11 belia dikesan positif syabu dalam sekatan jalan raya di Matang

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 11 orang belia dikesan positif syabu atau methamphetamine dalam operasi bersepadu sekatan jalan raya bertempat di Jalan Matang, malam tadi.

Ketua operasi daripada pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jesnik Gindol dalam kenyataan media berkata, 11 orang lelaki tersebut berusia lingkungan 20an hingga 40an tahun.

Mereka semua bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan keluarga dan pihak AADK.

“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah sementara menunggu keputusan dari Makmal Patologi, Hospital Umum Sarawak (HUS),” ujarnya.

Keputusan muktamad terhadap 11 orang belia tersebut akan berdasarkan laporan daripada HUS sama ada, dikenakan tahanan di Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) atau menjalani pengawasan selama 2 tahun.

Terdahulu, operasi bersepadu yang bermula jam 8 hingga 11 malam tadi melibatkan enam agensi yang diketuai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), AADK, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Manakala, seramai 21 anggota dari AADK Sarawak terlibat dalam operasi bersepadu berkenaan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru