KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd kini tidak lagi dimiliki secara esklusif oleh UMNO, selepas saham terbesar syarikat itu bertukar tangan semalam.

Saham terbesar syarikat itu kini dimiliki oleh Pengerusi Eksekutifnya yang juga bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Berikutan pengambilalihan tersebut, saham UMNO di dalam Utusan merudum daripada 49.77 peratus kepada 18.17 peratus – menamatkan penguasaan akhbar politik dan perjuangan Melayu itu daripada parti politik.

Akhbar The Star yang memetik laporan data pasaran saham melaporkan sejumlah 35 juta saham dalam Utusan berpindah tangan pada jumlah yang besar pada semalam, yang mewakili 31.6 peratus saham dengan jumlah modal berbayar melibatkan 110.73 juta saham.

“Data menunjukkan blok saham ini telah dijual pada harga 19 sen seunit, iaitu 7.5 sen atau 65.2 peratus lebih tinggi berbanding 11.5 sen ketika kali terakhir harga pasaran Utusan ditutup.

Utusan berada dalam senarai syarikat bermasalah atau ‘Practice Note 17’ sejak Ogos tahun lalu, dan telah menyerahkan cadangan penstrukturannya kepada Bursa Malaysia.

Kegelisahan dan suasana tenat dalam syarikat itu mula dirasai apabila Barisan Nasional tumbang sebagai Kerajaan Persekutuan pada 9 Mei lalu, yang seterusnya membawa kepada perubahan kepada senarai lembaga pengarah syarikat.

Utusan kini mempunyai hutang jangka pendek dan panjang yang dianggarkan bernilai RM137.8 juta dan hanya memiliki tunai sekitar RNM13 juta, sehingga penghujung September lalu, ketika ia mula melaksanakan proses pemisahan sukarela kepada lebih separuh kakitangannya.

Utusan bagaimanapun masih memiliki aset pelaburan yang dianggarkan RM89.7 juta manakala hartanah, loji dan mesinnya dianggarkan bernilai RM196.3 juta.

Atas arahan Presidennya yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj, UMNO membeli saham dalam Utusan Melayu pada 1961, yang kemudian membawa kepada mogok besar-besaran pekerja akhbar itu, yang diketuai oleh Said Zahari.