Friday, December 3, 2021

Penari tarian singa terdiri daripada Melayu, Iban, Bidayuh

Secara Rawak

KUCHING: Persembahan tarian singa tradisional melambangkan kekayaan budaya Cina yang unik.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang sesiapa pun termasuk bukan Cina mempelajari tarian indah dan menarik ini yang berakar dari seni mempertahankan diri Cina.

Menurut Pengurus Persatuan Tarian Naga dan Singa Chao Yang, Kenny Kho, ahli persatuan itu datangnya dari pelbagai latar belakang.

“Selain anak muda Cina, beberapa pelajar saya yang lain ialah Melayu, Iban dan Bidayuh,” katanya ketika kumpulan penarinya beraksi di hadapan pejabat syarikat akhbar Sarawak Press Sdn Bhd, pagi Jumaat.

Persembahan tarian singa merupakan tradisi kaum Cina yang berlangsung pada Tahun Baharu Cina.

Ia melambangkan permulaan yang baru, yang bermaksud menghalau kejahatan dan membawa kemakmuran serta mendatangkan tuah.

Persembahan kumpulan ini membuktikan bahawa tradisi budaya Cina ini turut diraikan bersama oleh komuniti yang pelbagai.

“Berlatih tarian singa biasanya mengambil masa sebulan,” menurut Kenny.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada kepantasan pelajar. Semakin cepat mereka belajar, semakin pendek masa diperlukan untuk melengkapkan pembelajaran,” tambah Kenny.

Persembahan tarian melibatkan pergerakan “singa” yang mampu bermain, melompat, makan, tidur, berehat serta meregang mengikut rentak drum Cina dan kerincing atau “simbal”.

Menurut Kenny, Persatuan Tarian Naga dan Singa Chao Yang ditubuhkan sembilan tahun lepas.

Beliau berkata, penubuhan persatuan tersebut sesuai dengan minat mendalamnya terhadap seni tarian berkenaan. –Sarawakvoice

Pengurus Persatuan Tarian Naga dan Singa Chao Yang, Kenny Kho.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru