KUCHING: Seorang pegawai tentera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu penyewaan bas dan pembekalan perkhidmatan penyediaan makanan bernilai RM16,000.

Suspek berpangkat leftenan ditahan jam 9.50 pagi semalam di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir memberi keterangan.

“Tiga lagi pegawai ditahan sebelum ini dipercayai bersubahat dengan suspek dalam mengemukakan invois mengandungi butiran palsu.

“Tuntutan palsu itu membabitkan perkhidmatan sewa tiga bas dan perkhidmatan penyediaan makanan sempena latihan menembak TLDM pada Oktober 2017 tetapi perkhidmatan itu tidak wujud sama sekali,” kata kenyataan pada Jumaat.

Tambah SPRM, wang tunai lebih RM14,000 ditemui dalam satu sampul surat ketika serbuan dilakukan di rumah suspek sebelum ini.

Wang itu hasil tuntutan dibuat salah seorang suspek dan dipercayai dibahagikan kepada beberapa suspek lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.

Bagaimanapun, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. –Sarawakvoice