Saturday, December 4, 2021

Ketua Masyarakat, Ketua Kaum disaran elak politik secara langsung – Abdullah Saidol

Secara Rawak

DARO: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) tidak perlu terlibat secara langsung dalam politik sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada khidmatnya dengan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop YB Abdullah bin Haji Saidol berkata setiap KMKK perlu memberikan tumpuan kepada permasalahan yang ada di kampung berbanding terlibat secara langsung dalam politik.

“KMKK tidak perlu melibatkan diri dalam politik sepenuhnya kerana peranan KMKK adalah berkhidmat kepada semua penduduk kampung tanpa mengira fahaman politik.

“Untuk politik, tugas dan peranan ini diserahkan kepada ketua ranting yang ada di setiap kampung,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Baru dan Pelanjutan Tempih Perkhidmatan Ketua Masyarakat Ketua Kaum Di Kawasan DUN Di Kawasan N42 Semop di Pejabat Daerah Daro.

Pada majlis itu, seramai 5 orang Ketua Kaum dan seorang Penghulu menerima pelantikan baru, manakala 4 orang lagi KMKK disambung perkhidmatannya.

Mengenai pelantikan KMKK, beliau tidak melibatkan diri secara langsung sebaliknya terserah kepada pihak yang bertanggungjawab mengendalikannya.

Abdullah yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat mahu setiap KMKK peka terhadap masalah yang berlaku di kawasan.

“Setiap KMKK perlu peka kepada permasalahan yang berlaku di kawasan mereka supaya perkara ini tidak tersebar ke luar kawasan.

“Jika berita kampung tersebar boleh menyebabkan imej kampung dan kawasan yang tercalar dan buruk,” tambahnya.

KMKK juga perlu mengetahui dan mempunyai hubungan baik dengan jabatan dan agensi yang ada di daerah ini bagi memudahkan penyaluran maklumat berkenaan isu di kawasan kepada agensi yang berwajib.

Sementara itu, Abdullah juga berkata beliau akan menyediakan senarai projek yang akan dilaksanakan di kawasan mereka beserta nama dan kos projek serta kontraktor yang dipilih.

“Ini bertujuan memudahkan setiap KMKK tahu projek yang ada di kawasan mereka,” ujarnya.

Abdullah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 untuk KMKK mengadakan majlis kesyukuran kelak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru