Sunday, January 23, 2022

Jika ahli politik tidak jujur, rakyat akan menderita

Secara Rawak

KUCHING: Telus, bersih, bekerja keras, rajin, amanah berkhidmat demi rakyat dan negara menjadi faktor sangat penting kepada pemimpin, kata veteran politik Datuk Peter Minos.

Katanya, semua kriteria tersebut perlu dimiliki ahli politik kerana tanpanya, rakyat akan tertipu dan menderita.

Beliau berkata demikian kepada Sarawak Voice ketika diminta mengulas isu pemalsuan kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang didakwa diterima dari Universiti Cambridge di United Kingdom (UK).

“Seluruh dunia tahu dan mengiktiraf status serta kedudukan Universiti Cambridge di United Kingdom, bukannya Universiti Cambridge di tempat lain.

“Ada membuat pencarian menyatakan menteri berkenaan memperoleh akademiknya bukan dari UK. Maka, tidak menghairankan sekiranya kreadibiliti menteri terbabit diragui,” ujarnya.

Minos juga penganalisis politik berkata, persoalan sekarang apakah seorang berpangkat menteri atau wakil rakyat mesti telus mengenai kelayakan akademik atau perkara lain berkaitan dirinya.

“Seseorang individu mesti mempunyai sekurang-kurangnya ijazah bagi meletakkan dia pada satu tahap kerjaya yang bagus… ia menjadi perkara asas. Dan, perkara penting adalah tidak menipu tentang kelayakan peribadi.

“Jika tidak telus, bagaimana kita hendak mempercayainya? Bagaimana kita hendak tahu apa dinyatakan itu benar atau tidak, atau tindakan diambil semuanya pura-pura atau benar.

“Ini isu dan masalahnya. Sangat penting kepada menteri dan pegawai kerajaan untuk telus dan bersih kerana jika mereka tidak jujur, negara dan rakyat akan menderita,” katanya.

Pada masa sama Minos berkata, intergriti dan kejujuran tidak boleh berkompromi, ia sebenarnya jelas tetapi sesetengah orang mengambil ringan atau tidak peduli perkara tersebut.

“Sekiranya anda mempunyai ijazah umpamanya, ia satu bonus kerana tahap pendidikan menjadi kayu ukur untuk menilai caranya bekerja.

“Oleh itu, lebih baik untuk seorang menteri untuk tidak mempunyai ijazah jika ia sekadar ijazah tipu,” tegasnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru