PUSA: Berkokok di media sosial dengan memainkan isu lapuk tidak membantu menyelesaikan masalah, kata Ketua Kampung Semarang, Suria Azmie.

Katanya, isu hakisan tanah berlaku sepanjang tebing berhampiran kawasan masjid dan tanah perkuburan lama masyarakat Islam Kampung Semarang dimainkan semula akhbar nasional pada 8 Februari lalu,

“Itu isu lapuk. Ia seolah-olah masalah itu tidak diambil tindakan susulan,” katanya,

Kata Suria, yang menjadi kemusyikilan adalah pengadu merupakan seorang ahli jawatankuasa pembangunan masjid kampung berkenaan.

“Ia tidak sepatutnya berlaku. Sama ada dia peka atau tidak apa yang berlaku seolah-olah menidakkan pada yang pihak berwajib telah lakukan.

“Malah dia meminta Kerajaan Negeri bertanggungjawab membina benteng penahan ombak bagi mengatasi masalah hakisan. Peruntukan RM6.5 juta dilulus Kerajaan Persekutuan sebelum ini untuk rancangan projek kawalan hakisan pantai kini senyap,” katanya kepada Sarawak Voice hari ini.

Beliau beranggapan membuat isu itu tular di media sosial tidak mampu menyelesaikan masalah sedangkan penduduk kampung bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dan Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim serta agensi kerajaan lain sudah mengambil beberapa tindakan drastik.

Jelasnya, antara usaha yang diambil ialah mengalihkan kubur lama secara berperingkat ke tanah perkuburan baharu yang sudah lebih dua tahun digunakan.

“Selain itu, menanam 120 tiang cerucuk konkrit di sepanjang lebih 30 meter dekat kawasan yang terjejas. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak untuk projek tanaman bakau.

“Melalui Ahli Parlimen akan terus mendesak Kerajaan Pusat untuk meneruskan pelaksanaan projek kawalan hakisan pantai seperti mana diluluskan Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika memegang Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Pejabat Daerah Pusa pula difahamkan akan mengajukan permohonan, meminta peruntukan khas dianggarkan RM6.5 juta daripada Kerajaan Negeri bagi membina dinding penghadang hakisan,” ujarnya.

Tambah Suria, siapa pun sedih melihat keadaan masjid dan tanah perkuburan lama diancam hakisanm apatah lagi nenek moyang, saudara-mara sendiri turut dikebumikan di situ.

“Sebab itu dari dahulu lagi pimpinan akar umbi berusaha keras untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Harapan penduduk Semarang amat besar agar kerajaan PH tidak mendiamkan diri atau memberi alasan faktor kewangan untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.