KUCHING: Berita baik untuk rakyat Sarawak apabila kerajaan Sarawak tidak merancang untuk menaikkan tarif air dan menngekalkan kadar sedia ada.

Kementerian Utiliti dalam satu kenyataan berkata, kenaikan kadar tarif air yang melibatkan bandar kecil di Sarawak berlaku pada 1984.

“Lembaga Air Kuching (LAK) dan Lembaga Air Sibu (LAS) juga menaikkan kadar tarif air pada tahun 1992 membabitkan beberapa bandar utama di Sarawak.

“Kali terakhir berlaku kenaikan kadar tarif air ialah pada 1995 yang melibatkan kawasan Bintulu,” kata kenyataan itu lagi.

Jelas kenyataan terbabit, pengguna domestik berada di luar bandar Sarawak sebenarnya menikmati subsidi bekalan air daripada Kerajaan Negeri.

Gambar hiasan

“Kos purata pengeluaran air untuk satu millimeter padu adalah RM1.40 apabila pengguna di Sarawak secara puratanya hanya membayar 62 sen.

“Kerajaan Negeri dalam pada itu, giat menambah baik perkhidmatan bekalan air di Sarawak secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.

Sebanyak RM2.8 bilion belanjawan tambahan diperuntukan kerajaan Sarawak dalam usaha menambah baik keadaan bekalan air di beberapa kawasan seluruh negeri.

“Bagi memastikan perkhidmatan bekalan air di Sarawak dalam keadaan mampan, kerajaan sedang mengkaji beberapa pendekatan seperti mengenakan bayaran tambahan bagi penggunaan melebihi kadar normal bagi mengelak pembaziran serta menggalakkan pemuliharaan air.

“Kerajaan Negeri turut merancang untuk menyeragamkan kadar tarif air di semua Kawasan di Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengadakan perbicangan bersama kerajaan negeri.

Katanya, perbincangan terbabit adalah untuk menentukan pendekatan terbaik dalam menaikkan tarif air tahun ini. –Sarawakvoice