KUCHING: Sarawak merekodkan sejumlah 178 kes denggi dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini, berbanding 64 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada minggu keempat iaitu pada 20 hingga 26 Januari lalu, sejumlah 51 kes direkodkan manakala 40 kes dicatatkan pada minggu kelima iaitu bermula 27 Januari hingga 2 Februari lalu.

Sarawak bagaimanapun berada dalam senarai kesembilan daripada 15 negeri yang direkodkan, dengan Selangor mencatatkan 9,042 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya 1,323 kes.

Sejumlah 15,469 kes dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Meskipun sejumlah 25 kematian direkodkan di seluruh negara, tiada kematian dicatatkan di Sarawak.