KUCHING: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bagi penyewaan bas dan pembekalan perkhidmatan katering berjumlah RM16,000.

Menurut sumber SPRM, Pegawai TLDM berpangkat Leftenan berusia 30 tahun itu ditahan ketika hadir untuk memberikan keterangan bagi membantu  siasatan pada 9.50 pagi tadi.

“Pegawai terbabit dipercayai bersubahat dengan tiga suspek yang ditahan sebelum ini dengan mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan pembayaran perkhidmatan sewaan tiga buah bas dan katering untuk tujuan latihan menembak pada Oktober 2017.

“Siasatan awal juga mendapati sewaan dan perkhidmatan itu tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Semasa penggeledahan dibuat di sebuah rumah suspek yang ditahan sebelum ini, SPRM menemui wang tunai RM14, 000 di dalam satu sampul surat,” katanya.

Tambah sumber, wang tunai tersebut dipercayai hasil daripada tuntutan yang telah dibuat oleh seorang suspek dan belum lagi sempat diagihkan kepada beberapa orang suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

— BERNAMA