LAWAS: Sarawak ini sedang melakukan banyak transformasi dalam bidang pertanian dan penternakan termasuklah dalam bidang penternakan kerbau di utara negeri ini dalam usaha menjadi pengeksport utama produk pertanian menjelang 2030.

Ketika ini pelbagai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan jumlah penternakan kerbau bagi pasaran tempatan dan antarabangsa antaranya mengadakan kerjasama dengan sektor swasta.

Menteri Muda Pertanian Sarawak YB Dr Hj Abdul Rahman bin Hj Ismail berkata kewujudan Stesen Kerbau Meragang ini bertujuan untuk pembiakan dan penyimpanan kerbau bagi keperluan import.

“Selain untuk pembiakan dan penyimpanan kerbau, Stesen Kerbau Meragang ini juga digunakan untuk penternakan kerbau.

“Bagaimanapun, ketika ini stesen ini belum dapat mencapai populasi jumlah kerbau yang diperlukan.

“Kementerian Pertanian Sarawak sedang memikirkan kaedah lain untuk meningkatkan jumlah kerbau di stesen tersebut antaranya menjual kerbau jantan saja manakala kerbau betina yang produktif melahirkan anak akan terus diternak di stesen tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian lawatan kerja ke Stesen Penternakan Kerbau Meragang Lawas dan Stesen Hidupan Liar Rusa Lawas, hari ini.

Dr Hj Abdul Rahman juga mengumumkan penswastaan operasi sebagai sebahagian daripada pendekatan yang akan digunakan bagi mencapai peningkatan pengeluaran kerbau.

“Pendekatan lain yang boleh diambil adalah dengan cara menswastakan sebahagian operasi di stesen ternakan tersebut terutama untuk pengeluaran tetapi untuk latihan dan penyelidikan akan dikendalikan oleh Jabatan Veteriner.

“Ketika ini Sarawak hanya mampu mengeluarkan kira-kira 5,500 ekor kerbau. Untuk mencapai hasrat itu, kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran kira-kira 11,000 ekor kerbau menjelang 2030,” tambahnya.

Selepas itu, Dr Hj Abdul Rahman turut melawat Stesen Hidupan Liar Rusa di Long Sebangang, Lawas untuk melihat keperluan yang boleh dibantu kementerian. –Sarawakvoice