KUCHING: Kerajaan Persekutuan komited untuk membuat pindaan Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Baru Bina.

Menurutnya, turut terkandung dalam pindaan terbabit ialah mengkaji semula status Sabah dan Sarawak yang bersama membentuk Malaysia.

“Ini adalah komitmen kita dalam memperjuangkan hak Sarawak seperti yang termaktub melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Stampin di sini, semalam.

Kata Baru lagi, Jawatankuasa Teknikal di bawah Jawatankuasa Pemandu turut dibentuk dan kini dalam proses perbincagan.

“Jawatankuasa Teknikal harus mengeluarkan keputusan dalam tempoh enam bulan.

“Malah, Jawatankuasa Pemandu turut dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah dan Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg),” jelasnya.

Ujarnya, apa yang diperlukan ialah berharap rakyat Sarawak bersabar.

Jawatankuasa Pemandu MA63 dibentuk pada 17 Disember tahun lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad.