KUCHING: Dana untuk membantu keluarga mangsa kebakaran pada malam sambutan Tahun Baharu Cina minggu ini di Spaoh sudah ada, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, dana terbabit dibentuk di bawah Pejabat Residen Betong melalui Dana Bencana Kebakaran Spaoh.

Terdahulu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Bersama Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat masing-masing menyampaikan sumbangan awal RM40,000.

Tegas Uggah, dana terbabit dipastikan sampai kepada mangsa terlibat.

Malah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar barang keperluan seperti makanan, alatan memasak, tilam dan selimut kepada mangsa, katanya.

Kebakaran berlaku 1 petang pada 4 Februari lalu memusnahkan lapan kedai kayu.

Sejurus selepas kejadian, Uggah dan Lawson melawat mangsa yang menyampaikan sumbangan peribadi apabila setiap keluarga menerima RM1,000 untuk persiapan makan malam bersama sempena Tahun Baharu Cina.

Kemudian, pada sebelah malam, Uggah mempengerusikan pertemuan bersama semua jabatan terlibat termasuk pemimpin masyarakat untuk membincangkan nasib mangsa.

“Kami berbincang untuk menempatkan semula mangsa dan kemungkinan menyediakan lot kedia sementera kepada mereka dalam jangka masa pendek.

“Dalam jangka masa Panjang pula, kami membincangkan rancangan untuk membangunkan semula kawasan rumah kedai yang baharu,” ujar Uggah.

Dalam pada itu, Uggah memuji Pasukan Bomba Sukarela dari Spaoh dan Betong serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong yang bertindak pantas memadam kebakaran terbabit.
Mereka berjaya menghalang api merebak ke kedai lain, katanya.

Justeru, Uggah menggesa siasatan menyeluruh dilakukan untuk mengetahui punca kebakaran terbabit.

Maka, beliau berharap laporan penuh dikeluarkan tidak lama lagi.